Dalam bidang
sains komputer,
data ialah mana-mana
maklumat dalam bentuk yang sesuai digunakan oleh
komputer. Ia seringnya dibezakan daripada
atur cara komputer yang merupakan satu set
suruhan yang memerincikan tugas untuk dilakukan oleh komputer. Daripada segi ini, data ialah apa-apa maklumat yang bukannya
kod atur cara. Daripada satu lagi segi,
fail perduaan (yang tidak dapat dibaca oleh
manusia) kekadang dipanggil "data", berbeza dengan "
teks" yang dapat dibaca oleh manusia. Jumlah data digital pada tahun
2007 dianggarkan sebanyak 281
bilion gigabait.
Fail komputer biasanya digunakan masing-masing untuk menyimpan atur cara dan data.
Fail boleh laku mengandungi atur cara, manakala fail-fail yang lain merupakan
fail data. Bagaimanapun, fail boleh laku mungkin juga mengandungi data yang "terbina" ke dalam atur caranya. Terutama sekali, sesetengah fail boleh laku mengandungi
segmen data yang mengandungi pemalar dan nilai permulaan, kedua-duanya data.Sebagai contoh, seorang pengguna mengarahkan
sistem pengendalian untuk memuat atur cara
pemproses kata dari sebuah fail, lalu menyunting
dokumen yang disimpan dalam fail yang lain. Dokumen tersebut dianggap sebagai data. Jika pemproses kata itu mempunyai
penyemak ejaan, jadi
kamus (senarai kata) untuk penyemak ejaaan itu juga dianggap sebagai data. Sebaliknya,
algoritma yang digunakan oleh penyemak ejaan untuk mencadangkan pembetulan dianggap sebagai
kod.Batas antara atur cara dan data kini dikaburi. Misalnya,
pentafsir ialah atur cara. Data
input untuk pentafsir pada dirinya juga merupakan atur cara yang hanya tidak ditulis dalam
bahasa mesin asli. Dalam banyak kes, atur cara tertafsir ialah
fail teks boleh baca manusia yang diolah dengan
penyunting teks — lebih biasanya dikaitkan dengan data
teks biasa.